Tanggungjawab Keluarga Kepada Anak-anak
Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi 'role model' kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik. Selain itu, mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi. Seterusnya, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Hal ini dapat dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas perkahwinan yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus ini, suami dan isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereke mempratikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. Seterusnya, kanak-kanak juga perl memberikan didikan agama dan moral yang secukupnya. Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan generasi akan datang. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesame suami dan isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-cerai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik-beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti lah sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.
No comments:
Post a Comment